Back to Languages
Malay - Chapter 37
Translation by Abdullah Muhammad Basmeih
Verse 1
Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret
Verse 2
(Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya
Verse 3
(Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci
Verse 4
(Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu
Verse 5
Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari
Verse 6
Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang
Verse 7
Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka
Verse 8
(Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru
Verse 9
Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus
Verse 10
Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi
Verse 11
(Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan, atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan? Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula)
Verse 12
(Pertanyaan itu tidak juga berfaedah kepada mereka) bahkan engkau merasa hairan (terhadap keingkaran mereka), dan sebaliknya mereka mengejek-ejek (peneranganmu)
Verse 13
Dan apabila diperingatkan, mereka tetap tidak mahu menerima peringatan itu
Verse 14
Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan kebenaranmu), mereka mencari-cari jalan memperolok-olokkannya
Verse 15
Serta mereka berkata: "Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata
Verse 16
Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan dibangkitkan hidup semula
Verse 17
Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan dibangkitkan hidup semula)
Verse 18
Jawablah (wahai Muhammad): "Ya, benar !(Kamu semua akan dibangkitkan) dengan keadaan hina-dina
Verse 19
(Kebangkitan ini mudah) kerana sesungguhnya ia boleh berlaku hanyalah dengan suara sahaja, maka dengan serta mereka semuanya (bangkit) melihat (apa yang akan jadi)
Verse 20
Dan (pada saat itu) mereka berkata:" Wahai celakanya kami, ini ialah hari balasan
Verse 21
(Lalu malaikat berkata kepada mereka): " Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya
Verse 22
(Allah berfirman kepada malaikat):" Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah
Verse 23
Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka
Verse 24
Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal
Verse 25
Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu)
Verse 26
(Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili)
Verse 27
Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela
Verse 28
Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya):" Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu
Verse 29
Ketua-ketuanya menjawab: " (Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman
Verse 30
Dan kami (selain daripada mengajak kamu (tidak mempunyai sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas)
Verse 31
(Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu)
Verse 32
(Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat
Verse 33
Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama
Verse 34
Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang yang berdosa
Verse 35
Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya;" (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah" - mereka bersikap takbur mengingkarinya
Verse 36
Serta mereka berkata: " Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila
Verse 37
(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya)
Verse 38
Sesungguhnya kamu (wahai orang-orang musyrik) akan merasai azab seksa yang tidak terperi sakitnya
Verse 39
Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan
Verse 40
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik
Verse 41
Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum
Verse 42
Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan
Verse 43
Di dalam syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat
Verse 44
Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin kebesaran
Verse 45
Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir
Verse 46
Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya
Verse 47
Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan, dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya
Verse 48
Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya
Verse 49
(Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (burung kasuari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya
Verse 50
(Tinggalah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan
Verse 51
Seorang di antaranya berkata: " Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku)
Verse 52
katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)
Verse 53
Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan
Verse 54
(Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: " Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)
Verse 55
Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang
Verse 56
Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:" Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan
Verse 57
Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab)
Verse 58
(Kemudian ia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): " Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi
Verse 59
Selain dari kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak akan terkena seksa
Verse 60
Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar
Verse 61
Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia)
Verse 62
Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum
Verse 63
Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat)
Verse 64
Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang
Verse 65
Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan
Verse 66
Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya
Verse 67
Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi - selain itu- satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak
Verse 68
Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang
Verse 69
Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan
Verse 70
Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya
Verse 71
Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga - sebelum kaummu (wahai Muhammad) - kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu
Verse 72
Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran
Verse 73
Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran
Verse 74
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan)
Verse 75
Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan
Verse 76
Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar
Verse 77
Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar)
Verse 78
Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian
Verse 79
Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam
Verse 80
Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik
Verse 81
Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman
Verse 82
Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya)
Verse 83
Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim
Verse 84
Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni
Verse 85
Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: " Apa yang kamu sembah
Verse 86
Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)
Verse 87
Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam
Verse 88
Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit)
Verse 89
Lalu berkata: "Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)
Verse 90
Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia
Verse 91
Lalu ia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta ia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): "Mengapa kamu tidak makan
Verse 92
Mengapa kamu tidak menjawab
Verse 93
Lalu ia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul)
Verse 94
(Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya
Verse 95
(Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat
Verse 96
Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu
Verse 97
(Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu
Verse 98
Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya)
Verse 99
Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar)
Verse 100
Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh
Verse 101
Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar
Verse 102
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar
Verse 103
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami)
Verse 104
Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim
Verse 105
Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan
Verse 106
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata
Verse 107
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar
Verse 108
Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian
Verse 109
Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim
Verse 110
Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan
Verse 111
Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman
Verse 112
Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh
Verse 113
Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri
Verse 114
Dan demi sesungguhnya! kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun
Verse 115
Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar
Verse 116
Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya)
Verse 117
Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya
Verse 118
Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus
Verse 119
Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian
Verse 120
Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun
Verse 121
Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan
Verse 122
Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman
Verse 123
Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus
Verse 124
(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya
Verse 125
Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la, dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta
Verse 126
Iaitu Allah Tuhan kamu, dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu
Verse 127
Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa)
Verse 128
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat, dan mendapat sebaik-baik balasan)
Verse 129
Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian
Verse 130
Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas
Verse 131
Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan
Verse 132
Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman
Verse 133
Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus
Verse 134
(ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya
Verse 135
Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan
Verse 136
Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut)
Verse 137
Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi
Verse 138
Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya
Verse 139
Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus
Verse 140
(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat
Verse 141
(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut)
Verse 142
Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak
Verse 143
Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih)
Verse 144
Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur
Verse 145
Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit
Verse 146
Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar
Verse 147
Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih
Verse 148
(Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing)
Verse 149
(Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki
Verse 150
Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu - perempuan
Verse 151
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata
Verse 152
Allah beranak"; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta
Verse 153
(Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dia lah yang menciptakannya)
Verse 154
Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)
Verse 155
Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)
Verse 156
Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)
Verse 157
(Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar
Verse 158
(Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari akhirat)
Verse 159
Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu
Verse 160
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat, dan akan mendapat sebaik-baik balasan)
Verse 161
Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik), dan apa yang kamu sembah itu
Verse 162
Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan Tuhannya
Verse 163
kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan dibakar di dalam neraka yang menjulang-julang
Verse 164
(Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): "Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya)
Verse 165
Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat)
Verse 166
Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)
Verse 167
Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah berkata
Verse 168
Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan Rasul-rasul) yang telah lalu
Verse 169
Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik
Verse 170
(Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka) mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat kekufurannya)
Verse 171
Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul
Verse 172
Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan
Verse 173
Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran)
Verse 174
Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa
Verse 175
Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu)
Verse 176
Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami
Verse 177
Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan
Verse 178
Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa
Verse 179
Dan lihatlah (apa yang akan jadi); tidak lama kemudian, mereka pun akan melihat juga
Verse 180
Akuilah kesucian Tuhanmu, - Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, - dari apa yang mereka katakan
Verse 181
Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul
Verse 182
Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam